Buku ini pada asalnya ditulis bagi mengumpulkan pengalaman dan ilmu yang dikutip sepanjang mengikuti aktiviti dakwah dan tarbiyah di dalam pergerakan Islam di Malaysia. Oleh kerana buku ini ditulis dalam jangka masa yang lama, sekitar 5 tahun, ia juga memuatkan pemikiran-pemikiran hasil dari pembacaan dan juga isu-isu semasa. Antara isu yang dibincangkan adalah permasalahan dalam pergerakan organisasi Islam serta teori-teori sedia ada. Selain itu buku ini turut membicarakan pandangan penulis berkenaan dengan politik di peringkat nasional dan antarabangsa. Juga pengaruh dan peranan media dalam kancah pertarungan politik. Ia juga memuatkan kritik sosial dan juga kritikan terhadap model ekonomi dan pendidikan sedia ada, cabaran dan penambahbaikan. Fokus buku ini adalah untuk mengajak pembaca menilai semula neraca fikir dan berani berfikir dalam konteks yang lebih luas dan rencam.
Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair merupakan anak ke-2 dari 5 adik-beradik dan dilahirkan pada 1 Oktober 1990 di Kuala Lumpur. Ibunya merupakan seorang guru sekolah menengah dan ayahnya bekerja sebagai jurutera awam.
Beliau memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Ibnu Kathir Gombak dan menyambung persekolahan di peringkat menengah di Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) Perlis. Tamat persekolahan beliau menyertai kursus persediaan di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT) dan kemudiannya menyambung pengajian sarjana muda dalam bidang kejuruteraan marin di State Marine Technical University (SMTU) di St. Petersburg, Rusia.
Beliau kemudian bekerja sebagai pembantu penyelidik di sebuah universiti awam sebelum bekerja sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat kontena dan logistik. Kini beliau berkhidmat sebagai data analyst di sebuah syarikat antarabangsa. Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan bersama NGO tempatan terutamanya dalam pendidikan kanak-kanak, bantuan sosial dan juga bantuan bencana.
Beliau telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Kini menetap di Sungai Petani, Kedah. Hobi beliau di masa lapang adalah membaca, menulis, berfikir dan termenung.