Arjuna mengembara ke dunia sebelah sana bersama bondanya untuk melarikan diri daripada ancaman Mahasura, raja, bapa dan suami yang menuntut ajaran papakerma. Ratu Pertiwi tidak mahu menurunkan kesaktian adilakar perentas dimensi yang dimilikinya kepada Arjuna kerana mahu melindungi anaknya. Akibatnya, Arjuna memerlukan bantuan seorang regulakar untuk memiliki kebolehan merentas dimensi. Apabila bertemu dengan Diya, Arjuna menyangka dia akhirnya dapat menyelamatkan Lakarloka daripada ancaman raksha-raja Mahasura. Tetapi, Diya ada misinya sendiri.
Narasinga memikul gelaran bendaharawan apabila ratu dan putera mahkota Lakarloka minggat ke dunia sebelah sana. Narasinga sedaya upaya melindungi rakyat jelata demi tanggungjawab. Apabila Arjuna tiba-tiba pulang dengan seorang regulakar untuk menyelamatkan Lakarloka, kesetiaan Narasinga berbelah bahagi antara impian ibunya untuk memerintah, persahabatannya dengan putera mahkota Arjuna serta janjinya untuk melindungi regulakar bernama Diya.
Bertembunglah tiga insan dua dimensi bergolak! Adakah roman ini seindah lukisan?
Sri Rahayu Mohd Yusop, anak jati Tanjong Karang, Selangor telah menulis 13 buah novel semenjak tahun 2001. Beliau telah memenangi hadiah dalam beberapa sayembara peringkat nasional. Antara karya-karya beliau dalam genre fantasi dan sains fiksyen ialah Odisi Tanah Kencana , Impuls/Roh , Equilibria dan Transgenik Sifar . Novel beliau yang bertajuk Bimasakti Menari kini digunakan sebagai teks wajib Komponen Sastera Bahasa Melayu Tingkatan 5 di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka.