Panduan mereka bentuk pangkalan dalam Clash of Clans

Pembinaan pangkalan yang kuat ialah kunci perlindungan sumber anda dalam Clash of Clans. Dengan pelbagai pilihan pertahanan yang tersedia, pengukuhan pangkalan boleh menjadi agak mencabar – sebab itulah kami berkongsi beberapa strategi utama untuk membantu anda membina pangkalan yang dapat melindungi Dewan Bandaran dan tempat penyimpanan.

Pusatkan kekuatan

Secara amnya, kami mengesyorkan agar pembina pangkalan baharu menempatkan Dewan Bandaran mereka di tengah-tengah untuk menyukarkan lawan memperoleh 3 bintang. Walau bagaimanapun, hal ini bergantung pada jenis pangkalan yang anda bina. Seiring dengan perkembangan permainan, terdapat dua gaya permainan yang boleh mempengaruhi cara anda mereka bentuk pangkalan anda.
Serbuan sering dilakukan dengan mengambil kira satu daripada dua matlamat. Pertama, “mengejar trofi”, merujuk kepada serbuan dengan matlamat untuk mendapatkan trofi dan mendaki kedudukan liga. Kedua, “menuai”, yang merupakan pendekatan menyerbu pangkalan untuk mendapatkan sumber bagi meningkatkan askar dan pertahanan anda.
Jika anda kehilangan banyak trofi akibat serbuan yang dahsyat terhadap kampung anda, anda perlu memusatkan dan melindungi Dewan Bandaran dengan lebih banyak tembok dan pertahanan untuk menyukarkan pihak lawan anda memperoleh bintang tambahan. Walau bagaimanapun, jika anda lebih mementingkan pemeliharaan sumber, anda boleh meletakkan Dewan Bandaran anda di luar tembok dan memusatkan storan anda.
Cara ini akan menarik pemain tahap rendah, yang biasanya tidak akan menyerang kampung anda, untuk menyerang Dewan Bandaran anda. Anda mungkin kehilangan trofi tetapi selepas itu, anda bakal mendapat perisai yang akan melindungi anda daripada serbuan baharu untuk tempoh tertentu. Lama-kelamaan, anda akan membina gaya permainan anda sendiri yang mungkin cenderung kepada satu strategi ataupun gabungan kedua-dua strategi tersebut.

Lakukan serbuan dengan kerap

Satu daripada cara paling berkesan untuk menguasai teknik mempertahankan pangkalan anda adalah dengan menyerbu pangkalan lain sekerap yang boleh. Serbuan yang berjaya dan gagal akan mengajar anda mengenal pasti kelemahan yang mungkin wujud di pangkalan anda sendiri, meniru strategi pertahanan yang sedang sohor kini dalam komuniti dan membantu anda menentukan peletakan perangkap secara berkesan.
Semakin kerap anda melakukan serbuan, semakin arif anda menganalisis pangkalan anda sendiri dari sudut pandangan penyerang dan memperbaik kelemahan yang berkemungkinan besar akan menjadi sasaran awal. Anda juga akan melihat sumber dan pertahanan yang paling dikawal dengan ketat, yang mungkin mempengaruhi keputusan anda semasa memilih peningkatan yang perlu diutamakan atau teknik pembinaan pangkalan yang mahu digunakan.

Serakkan pertahanan anda

Pastikan pertahanan anda tidak dihimpunkan pada satu tempat sahaja. Jika tidak, anda memudahkan musuh menghancurkan pertahanan sekali gus. Lebih teruk lagi, musuh dapat melancarkan sihir petir dengan tepat lalu memusnahkan kelompok pertahanan terbaik anda. Penyerakan pertahanan akan turut memaksa askar musuh untuk memencarkan kuasa tembakan mereka dan tidak akan dapat menuju terus ke pusat pangkalan anda.
Perangkap anda juga terbukti akan lebih berkesan jika diserakkan. Perangkap menjadi satu lagi lapisan pertahanan yang menimbulkan kekacauan yang tidak dijangka sehingga lawan anda terpaksa menyesuaikan strategi dengan segera. Semakin anda menguasai selok-belok permainan, anda akan mendapati bahawa pengelompokan beberapa pertahanan mampu memberikan sinergi dan percikan kerosakan tambahan tetapi jika anda baru bermain, anda boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyerakkan perangkap.

Bina lapisan pertahanan

Satu lagi strategi pembinaan pangkalan yang popular ialah “pemetakan”, yang merujuk kepada tindakan mengasingkan pertahanan, sumber dan struktur anda yang lain dengan menggunakan tembok untuk membahagikan pangkalan anda. Strategi ini membezakan antara pangkalan yang kuat dengan pangkalan yang lemah. Daripada membiarkan penyerang merobohkan hanya satu tembok yang mengelilingi pangkalan anda, mereka terpaksa menghancurkan petak demi petak, yang akan merugikan masa dan tentera mereka.
Sebagai contoh, satu petak mungkin menempatkan Raja Orang Gasar, Meriam, Menara Ahli Sihir dan Storan Eliksir yang dikelilingi oleh tembok yang ditingkatkan. Anda juga boleh menggunakan petak untuk memanipulasi laluan yang berkemungkinan besar akan ditempuh oleh musuh anda untuk mengumpan mereka agar memasuki perangkap dan kawasan yang telah dioptimumkan untuk pertahanan.

Minta bantuan komuniti

Komuniti dalam Clash of Clans sangat aktif serta kaya dengan pengetahuan dan pengalaman. Ramai pembina berpengalaman telah memuat naik pangkalan mereka dalam talian untuk memberikan ilham kepada pemain baharu dan pertengahan yang mahu menyusun semula pangkalan mereka.
Banyak bantuan yang ditawarkan kepada pemain baharu seperti anda seperti mendapatkan nasihat daripada klan anda atau komuniti umum yang lebih luas. Dapatkan bantuan apabila anda baru berjinak-jinak atau mengalami kesulitan!