Perihal Rainbow Friends dalam Roblox

Rainbow Friends dipenuhi oleh raksasa humanoid bersaiz besar berdasarkan tema warna pelangi dan raksasa ini boleh ditemukan dalam satu daripada permainan Roblox yang paling popular setakat ini.
Panduan ini akan memberikan penerangan asas tentang Rainbow Friends, perkara yang akan pemain lakukan sepanjang permainan serta pelbagai maklumat lain. Rainbow Friends telah menakutkan pengguna Roblox sejak dilancarkan dan kini anda akan mengetahui perihal semua warna dalam permainan ini.

Apakah itu Rainbow Friends?

Rainbow Friends ialah permainan seram kerjasama yang membolehkan sekumpulan pemain menerokai taman hiburan terbiar yang didiami oleh Rainbow Friends, iaitu raksasa gergasi yang berkeliaran di taman dan menghapuskan sesiapa sahaja yang ditemukan oleh raksasa tersebut. Anda perlu mengelakkan raksasa dan melarikan diri daripada taman untuk mencapai kemenangan.
Selain melarikan diri, kumpulan anda akan diberi tugasan tambahan untuk diselesaikan dalam setiap permainan. Pada Malam Pertama, pemain perlu mengumpulkan blok, manakala pada Malam Kedua, pek makanan mestilah ditinggalkan untuk mengumpan raksasa agar tidak mendekati pemain. Jika tersilap langkah, Rainbow Friends pasti akan menghapuskan watak anda.

Apakah yang akan anda lakukan dalam Rainbow Friends?

Setiap kumpulan pemain perlu menyelesaikan tugasan di dalam dan di sekitar bangunan untuk meraih kemenangan sambil menjauhkan diri daripada Rainbow Friends yang ditugaskan untuk memburu dan menyingkirkan pemain daripada permainan. Setiap "friend" mempunyai gaya berburu dengan kekuatan dan kelemahan tersendiri. Oleh itu, anda perlu mengetahui cara menangani setiap raksasa yang muncul dalam tahap permainan.
Pada masa ini, permainan ini mengandungi dua bab dan setiap bab berlangsung selama lima "malam". Setiap malam menampilkan kawasan, tugasan dan raksasa yang baharu. Akhirnya, semua pemain sama ada akan disingkirkan oleh Rainbow Friends atau berjaya melarikan diri dan memenangi permainan.

Rainbow Friends

Terdapat tujuh Rainbow Friends berbeza yang akan anda temukan dalam dua bab permainan pertama, yang memiliki ciri dan keupayaan yang unik. Sebelum permainan bermula, anda perlu mengenali makhluk ini. Yang berikut ialah beberapa perkara yang dapat dijangkakan daripada setiap makhluk berwarna-warni yang menakutkan ini.
  • Blue ialah raksasa biru diraja yang amat tinggi dan memiliki kekuatan yang luar biasa. Dia tidak terlalu pantas tetapi jika dia berjaya mengepung anda, anda akan tersingkir dengan serta-merta
  • Green memiliki anggota badan yang panjang dan kurus, lantas mampu menjangkau lebih jauh ketika mengejar sekumpulan pemain
  • Orange ialah allosaurus yang mampu mengatasi kelajuan mana-mana pemain pada peta permainan. Jika Orange mula mengejar anda, besar kemungkinan anda akan tumpas
  • Purple menyorok di dalam bolong di seluruh kawasan permainan. Jika anda terlalu dekat dengan bolong, Purple akan menarik anda masuk dan anda akan tersingkir daripada permainan
  • The Scientist ialah manusia bertopeng yang membimbing pemain sepanjang permainan. Jika anda mendengar amaran daripadanya, keadaan akan menjadi lebih huru-hara
  • Yellow yang muncul untuk kali pertama dalam Bab 2 ialah makhluk seperti pterosaurus yang menangkap pemain dan membawa mereka ke sarangnya. Setibanya di sarang, pemain akan dipatuk sehingga mereka tersingkir
  • Cyan ialah raksasa seperti dinosaur yang mampu mengejar pemain yang disasarkan merentasi halangan

Petua untuk pemain baharu

Jika ini kali pertama anda menerokai dunia Rainbow Friends, terdapat beberapa perkara yang perlu diingat semasa anda cuba untuk mengelak daripada terserempak dengan makhluk berwarna-warni yang menakutkan. Yang berikut merupakan beberapa petua berguna untuk membantu anda bermula:
  • Blue dapat melalui pintu bersaiz biasa untuk mengejar pemain yang leka. Tindakan menyorok di dalam bangunan tidak begitu membantu jika anda cuba melarikan diri daripada Blue
  • Gunakan kotak kadbod untuk bersembunyi setiap kali anda berada dekat dengan raksasa. Jangan lari jika anda dapat bersembunyi
  • Dapatkan sebanyak mungkin item yang boleh anda temukan kerana inventori hampir tidak terhad
Roblox
Roblox Corporation
Pembelian dalam apl
4.4
45.2J ulasan
1B+
Muat turun
Rating kandungan
Remaja