Ijtima’ Am merupakan perkataan yang dipinjam dari Bahasa Arab. Dari sudut bahasa ijtima’ membawa maksud perhimpunan atau perjumpaan, manakala am bermaksud umum. Jadi definisi bahasanya adalah perjumpaan umum atau perhimpunan umum. Namun dari sudut istilah dan konteks penulisan ini, ijtma’ am merupakan nama kuliah mingguan yang diadakan di musolla Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) di Kampung Tunjung, Perlis. Kuliah ini merupakan kuliah mingguan wajib bagi setiap pelajar, ia juga disertai oleh masyarakat kampung dan orang ramai di sekitar Perlis. Pengisian kuliah ini kebiasaannya menyentuh persoalan-persoalan kefahaman Islam, tuntutan-tuntutan Islam ke atas setiap individu dengan tujuan menghidupkan Islam dalam kehidupan manusia. Catatatan di dalam buku ini merupakan catatan peribadi penulis semasa menuntut ilmu di MATRI dari tahun 2003 hingga 2007. Catatan ini dikumpulkan semula dan dibukukan bagi tujuan rekod sejarah perihal bahan tarbiyah MATRI juga sejarah Perkampungan Tunjung, Perlis.