Mastura Abdul Rahman lahir pada tahun 1963 di Singapura. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Johor Bahru, sebelum memasuki Institut Teknologi MARA pada tahun 1982 untuk belajar Seni Halus dan Pendidikan Seni. Pernah berkhidmat sebagai Guru Sekolah dan Pensyarah Sambilan sebelum menyambung pendidikan di Universiti Multimedia, Cyberjaya, dan mendapat Sarjana Sains (Multimedia Kreatif). Kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Multimedia Kreatif di universiti tersebut. Karier seni rupanya bermula pada tahun 1985, bila terpilih mewakili Malaysia ke 3rd ASEAN Youth Painting Workhop & Exhibition di Yogjakarta, Indonesia. Dia memenangi Hadiah Utama Bakat Muda Se Zaman pada tahun 1986. Selain Kuala Lumpur, dia juga pernah berpameran di Singapura, Sydney, Manila, London dan Kassel. Karya-karya banyak dihimpun dalam himpunan persendirian dan awam di Malaysia dan Singapura. Kini melukis/mencatan di studionya, Studio Pohon Rendang, di Puchong, Selangor.