“Maafkan aku, Dalia. Bukan niat aku nak rahsiakan daripada kau. Ada baiknya kau tak tahu siapa mereka tu semua.” – Shafiq Akmal
Shafiq dan Dalia kemudiannya dipertemukan dengan Rafiq Adam. Pertemuan itu berlarutan sehingga membawa kepada satu perhubungan yang mesra dan istimewa. Rasa sayang dan kasih kepada Rafiq berputik dalam hati tanpa Dalia sedari. Namun dia sedar, siapalah dia untuk memasang impian bersama dengan Rafiq. Dia hanya seorang gadis selekeh yang dipandang sebelah mata oleh Rafiq.
“Kau kena cermin diri kau tu dulu, Dalia. Kau tu siapa? Dia tu siapa? Mana nak sepadan.” – Dalia Imani
Kehadiran Dalia di syarikat tidak disenangi oleh Ziqri Arif. Dia turut berpakat dengan Azie yang sememangnya tidak menyukai kehadiran Dalia di syarikat itu. Pelbagai usaha dilakukan oleh mereka berdua demi untuk menyingkirkan Dalia dari syarikat.
“Lepas ni kau jangan nak main-main dengan aku, Dalia. Aku boleh buat kau berhenti daripada syarikat ni. Ini amaran aku buat kau.” – Azie
Sikap ambil berat Rafiq terhadap Dalia menambahkan lagi kebencian Ziqri terhadap gadis itu. Tatkala dia mengetahui tentang perasaan Dalia terhadap Rafiq, dia memasang rancangan. Baginya, Rafiq tidak layak untuk bahagia setelah apa yang dilakukan oleh Rafiq terhadapnya pada 2 tahun yang lepas.
“Aku tak akan mengaku kalah, Raf. Aku akan pastikan orang yang kau sayang pergi tinggalkan kau. Aku akan balas dendam atas apa yang telah kau lakukan pada aku dahulu.” – Ziqri Arif
Peristiwa yang berlaku kepada Shafiq menyebabkan Dalia berputus asa. Demi sebuah rahsia dan kebenaran memaksa Dalia untuk menerima tawaran Ziqri. Hanya dengan bantuan Ziqri, dia dapat menyelesaikan masalah yang sekian lama menghantui hidupnya dan Shafiq.
Tawaran apa yang ditawarkan oleh Ziqri kepada Dalia? Rahsia apa yang disembunyikan oleh Shafiq selama 2 tahun? Apa yang telah dilakukan oleh Rafiq sehingga menyebabkan Ziqri berdendam?
Eliza AB mula menceburkan diri dalam bidang penulisan sewaktu di bangku sekolah lagi. Jika dulu menulis sekadar untuk suka-suka dan tatapan kawan-kawan rapat sahaja, kini beliau menulis untuk tatapan setiap lapisan pembaca.
Sentiasa cuba menghasilkan karya penuh emosi. Berharap apa yang cuba disampaikan dalam penulisan dapat dijadikan contoh dan pengajaran di masa hadapan.
Tiada Dirimu merupakan buah tangan daripada beliau. Sekiranya terdapat sebarang kekurangan di dalam novel ini, beliau menyusun sepuluh jari memohon maaf.
Segala tunjuk ajar amat diperlukan. Segala nasihat dan kritikan akan dijadikan pembakar semangat buat beliau untuk terus berkarya selagi diizinkan Allah.
Harapan beliau, semoga karya ini mendapat tempat di hati pembaca semua. Terima kasih atas sokongan pembaca semua.