Air yang hitam pekat dan berbau hanyir
terpercik ke muka. Tidak sempat mengelak, Salihin jatuh tersungkur ke
dalam telaga. Terkapai-kapai diselubungi kehitaman berbau hanyir, rasa
gatal merayap ke seluruh tubuh Salihin yang lencun. Rohnya terasa
melayang keluar. Melayang... dan terus melayang... Satu demi satu
misteri melanda Salihin. Bermula dengan gangguan mimpi aneh, kemudian
penyakit gatal yang menyerang tiba-tiba dan langsung tidak mahu sembuh.
Lebih pelik, dia dikatakan menghidap kidal atau sakat, penyakit
turun-temurun. Penyakit yang menyebabkannya hilang pekerjaan, hilang
tumpuan, hilang harga diri, dan mungkin... hilang nyawa! Akan tetapi,
apa kaitannya dengan Tum Bratma, telaga yang dikatakan misteri itu? Apa
kaitannya dengan Azizah? Adakah semuanya tahyul belaka, atau secara
kebetulan? Atau sememangnya ada misteri di sebaliknya?