"Melalui pengalaman menjadi seorang gadis adalah suatu kenangan yang indah, kerana gadis sentiasa ingin melakukan apa yang terbaik untuk semua insan yang berada di sekeliling.Bahagianya Menjadi Gadis Pilihan ini adalah sangat baik untuk dijadikan pedoman hidup. Pastikan wanita solehah itu adalah diri kalian." - Ummi Rose, CEO Raudatus Sakinah
"Kawan-kawan, mari kita mulakan langkah sebagai 'gadis solehah' dengan membaca buku ini." - Nurussyahamah Taqiah, Juara Adik-Adikku Musim ke-3
Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Ph. D.
Beliau dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan Darul Naim. Mula mendapat pendidikan di Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Undang-Undang) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2000 dan Ijazah Sarjana (Undang-Undang Perbandingan) pada tahun 2001 dari universiti yang sama.
Kemudian, beliau menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (Ph. D.) dalam bidang undang-undang di Keele University, United Kingdom.
Kini, beliau adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau juga adalah Timbalan Pengarah, Pusat Permata Insan USIM, serta Ketua Kluster dan Felo Penyelidik INFAD.
Di samping menumpukan dalam bidang akademik, beliau turut aktif menulis buku. Antaranya Salah Faham Tentang Islam…Tetapi Anda Malu Bertanya terbitan Telaga Biru serta aktif menulis artikel dan mempunyai ruangan tetap di Akhbar Perdana Berita Harian.
Selain itu, beliau aktif muncul dalam rancangan-rancangan agama di televisyen seperti Tanyalah Ustazah TV9, Forum Perdana Ehwal Islam TV1, Soal Wanita TV Al-Hijrah, Al-Hidayah, dan Al-Kulliyyah TV3. Beliau juga adalah salah seorang daripada panel juri profesional rancangan Cari Menantu musim pertama dan rancangan realiti Adik-Adikku musim keempat serta banyak lagi.
Ustaz Mohd Hariri Haji Mohamad Daud
Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Ustaz Mohd Hariri mendapat pendidikan di SMKA Tun Perak, Melaka.
Kemudian, beliau berjaya memperoleh Diploma Pengajian Islam (Usuluddin) dari Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).
Seterusnya, Ustaz Hariri memperoleh Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam.
Beliau turut memiliki Diploma Pengurusan Islam (DPI) dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).
Beliau pernah berkhidmat sebagai editor buku agama di salah sebuah syarikat penerbitan terkemuka dan pernah bekerja sebagai tenaga pengajar di USIM. Kini, beliau berkhidmat sebagai pendakwah di salah sebuah institusi agama di Malaysia.
Ustaz Hariri juga aktif terlibat dalam program agama di TV. Antaranya sebagai pengacara rancangan Fikrah TV1, Forum Perdana Ehwal Islam TV 1, Tilawah Interaktif TV 1, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, rancangan Assalamualaikum TV Al-Hijrah, dan panel Isu Akidah di TV Al-Hijrah.
Selain buku ini, Ustaz Hariri sudah menghasilkan sebuah buku berjudul 303 Soal Jawab Fikah Kematian terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd.
Beliau dapat dihubungi di hariridaud@gmail.com.