Miyu si kucing jingga yang gebu dan manja memerlukan perhatian secukupnya daripada Natalia dan Zafran. Mujur dengan teknologi VOCOLLA, haiwan jalanan dan peliharaan seperti Miyu kini mampu berbalas kata dengan manusia.
Namun, dek kesibukan kerja, Natalia dan Zafran tidak banyak meluangkan masa dengan kucing kesayangan mereka sehingga membuatkan Miyu berasa sunyi dan jemu. Hanya siri animasi adiwira Belang Hulubalang sahaja yang dapat mengisi waktu lapang si kucing itu.
Tanpa diketahui Natalia dan Zafran, Yara, si pari-pari kecil muncul sebagai peneman Miyu. Dengan kuasa sakti, Yara setia membantu dan melindungi Miyu ketika mereka mengembara di dunia luar. Selain menghilangkan bosan, Miyu yang terpengaruh dengan adiwira kegemarannya, nekad untuk membantu haiwan-haiwan jalanan yang dilanda kesusahan.
lkuti perjalanan Miyu yang penuh kejutan dalam menyelami pelbagai aspek kehidupan bersama Yara. Dari kaca mata seekor kucing, kasih sayang dan penghargaan sesama makhluk membawa suatu makna baharu buat Miyu.
Natasha Mazya mula menggubah ceritera ketika berumur 16 tahun. Dari sebuah hobi, ia bertunas menjadi cita-cita. Setelah tujuh tahun mencatur aksara, Natasha julung kali melangkah ke buana penulisan menerusi karya Mentekedarah terbitan Dear Novels. Genre seram merupakan citra utamanya, namun Natasha tidak kisah berkelana ke genre-genre lain. Adapun Hari-hari Bersama Miyu ini merupakan anak ketiga buat Natasha, selepas melahirkan K-Pop Girl: Atiny yang Tabah juga di bawah imprint Bookiut. Kendatipun tidak lagi membela kucing selepas ketiadaan Kido, kasih sayang Natasha tetap melingkari kucing-kucing di seluruh dunia bagai kasih sepantun tulisan pinggan. Maka terabadilah rasa itu dalam karya Hari-hari Bersama Miyu.