Kalau hang tak dak background knowledge, sebab hang memang tak kesah apa benda yang jadi dalam dunia ni, hang memang terok. Aku sediakan footnote untuk orang-orang yang terok macam hang, sebab kalau aku tulih sorang-sorang tanpa ada pembaca, baik aku cakap dengan dinding - dan itu lebih terok.
Aku rasa Matluthfi belasan tahun pun tidak akan faham apa yang Matluthfi 24 tahun ni tulis. Sebenarnya aku malu dengan Matluthfi 5 tahun dulu sebab dia duk tulih benda-benda bodo. Sekarang ni aku tengah tumbok diri sendiri seminggu sekali untuk puaskan hati Matluthfi 5 tahun akan datang.
Tapi Alhamdulillah, ketidakpuasan hati ini satu petanda bahawa aku telah belajaq banyak benda baru, menginjak pemikiran ini ke tahap yang lebih dekat dengan generasi pembaca yang lebih berumur seperti mak hang.
Yaa mak hang juga akan membaca buku ini. Dia akan mempengaruhi ayah hang supaya turut meminati aku sehingga ayah hang sanggup bawak balik buku ni pi beraya di kampong, hanya untuk terkejut apabila disambut nenek hang -
“Eh, mak pun ade yang ni!”
Tanjat ayah hang bukan sahaja kerana mak dia layan Matluthfi, tetapi jugak kerana nenek hang itu sebenarnya sudah lama pergi...
Jelasnya, Matluthfi berasal dari Utara. Walaupun sebilangan masyarakat memuji beliau kerana tidak lupa daratan atas pengekalan dialeknya, Matluthfi tahu perbezaan antara tidak lupa daratan dan tidak pandai berenang.
Apabila seseorang itu bertanyakan tentang usia, Matluthfi tahu soalan itu bukan daripada seorang peminat sejati; ataupun kemungkinan juga daripada seorang yang tidak pandai mengira kerana 'Matluthfi90', duh.
Matluthfi mula terkenal apabila video Mother's Day beliau di Youtube menjadi viral. Mak Matluthfi tidak gembira dengan berita ini kerana merasakan Mother's Day haram. Mak Matluthfi berkata, "Mother's Day bukan hanya sehari, tetapi hari-hari adalah Mother's Day."
Matluthfi merasakan mak beliau demanding kerana mahukan video pada setiap hari.
Di kala teman-teman sebayanya sibuk membina badan, Matluthfi sibuk membina jamban di Curtin University. Pada setiap kali Matluthfi berasa tertekan dengan kuliahnya, Matluthfi akan mengurut dada dan cuba mendapatkan inspirasi daripada Alumni yang telah berjaya mendapat Ijazah Doktor Falsafah dari sana - Datin Sri Rosmah Mansor.
Berkat sokongan daripada rakyat Malaysia, Matluthfi telah dikurniakan beberapa anugerah seperti Shout Aloud Award, Digi WOW Award, dan Vlogger Terbaik daripada suami Alumni. Tetapi, anugerah yang paling dihargai oleh beliau adalah anugerah untuk berfikir dan menulis.
Dengan itu, lebih ramai yang boleh membaca...
...dan harapnya berfikir.
Apa guna anugerah jikalau tidak dikongsi, bukan?