Shamsiah Fakeh adalah seorang komunis. Itu yang diberitahukan kepada kita, sehinggalah beliau sendiri berkata, “Aku akan tulis kisah ini nanti. Aku harap, selepas ini kalian tahu kisah yang sebenar dan tidak lagi membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadapku.” Inilah novel yang sangat menghormati Shamsiah Fakeh. Ia menceritakan Shamsiah Fakeh adalah susuk yang pernah menjadi pemimpin, pejuang dan tetap seorang perempuan. Sebagai pemimpin beliau berkata, “Kamu yang dapat melihat peristiwa sebenar dalam sejarah pasti dapat menemui arah tuju untuk masa hadapan.” Sebagai pejuang, “Tiada apa yang aku kesalkan. Beribu-ribu pejuang telah terkorban semasa berjuang demi kemerdekaan. Mereka juga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan atau kemewahan daripada perjuangan mereka.” Sebagai seorang perempuan, “Mana mungkin seorang ibu tergamak membunuh anaknya sendiri? Aku juga manusia seperti kamu, punya hati dan perasaan. Bezanya, aku mengangkat senjata dan tinggal di dalam hutan kerana berlindung dari serangan penjajah, dan kamu tidak.” Masihkah Shamsiah Fakeh itu seorang komunis pada fikiran kita? Novel ini punya jawapannya.