Malaysia komited untuk membangunkan sistem perbankan Islam dan pada masa yang sama berusaha melaksanakan sistem kewangan Islam dalam struktur kewangan negara secara menyeluruh. Dengan peningkatan dalam dimensi kewangan Islam pada peringkat global, landskap kewangan Islam berubah dengan penglibatan pemain pasaran yang lebih pelbagai serta persekitaran yang lebih berdaya saing. Skop perniagaan kewangan Islam kini lebih meluas sebagai tindak balas kepada perubahan permintaan pelanggan pada peringkat global. Justeru, isu dan cabaran yang dihadapi oleh bank Islam untuk berkembang pada peringkat antarabangsa semakin kompleks. Antara cabaran global yang dihadapi ialah struktur instrumen kewangan, takaful dan pasaran modal yang lebih kompleks dan sofistikated akibat peningkatan dalam persaingan.